Second Half Taqwa Champions League

Pernah tengok Filem Goal 2? Saya tidaklah hebat dan handal bemain bola sepak, tapi saya suka main futsal (bola sepak) untuk riadah. Saya juga tidak begitu berminat untuk mengetahui semua isu semasa bola sepak.

Namun, ada satu filem tentang bola sepak yang saya suka iaitu, Goal 2. Bagi saya, filem tu sangat seronok dan menarik. Tambah lagi, dengan epic scene di waktu klimaksnya, Santiago Munez bersama rakannya Gavin Harris serta bintang bola sepak terkenal, David Beckham dalam menjayakan misi Real Madrid untuk menang dalam Champions League.

Dalam Filem ini, final Champions League Real Madrid bertemu Arsenal, dan Arsenal mendahului 2-0 pada separuh masa pertama. Kemudian, pada separuh masa kedua, Santiago Munez masuk padang dan bermain bersama Gavin Harris dan mereka berdua menyumbat gol penyamaan. Pada masa kecederaan, Real Madrid menerima free kick akibat foul oleh Arsenal, David Beckham mengambil free kick dan menyumbat gol kemenangan Real Madrid.

Sahabat,

Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya adalah pusingan penentu seperti mana dalam filem Goal 2 itu tadi. Ramadhan kita  ini umpama perlawanan bola sepak. Separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, masih lagi terfikir-fikir strategi ketika di medan dan berlari di padang tanpa arah tujuan.  Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.

Oleh itu, apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?

Andai masih 0-0, perlu dikaji apa yang tidak kena. Maksiat kita tinggalkan, tapi kebaikan tidak kita lakukan. Tambah-tambah lagi jika maksiat ditinggalkan hanya semata-mata “˜rakan syaitan jin dan manusia” tertambat dan bukannya kerana dorongan mahu mendampingi Tuhan. Jangan lupa, buat sesuatu kerana selain Allah itu riya, meninggalkan sesuatu kerana selain Allah juga adalah riya.

Andaikata kita sudah mendahului dengan jaringan 1-0, syukurlah kepada Allah. Namun kita belum selamat. Pasukan Nafsu masih terlalu hampir untuk membuat jaringan persamaan, mereka tidak henti-henti menyerang sedangkan pertahanan kita semakin keletihan. Tambahlah bilangan bola yang berjaya dibawa melepasi pertahanan Pasukan Nafsu yang degil itu. Biar jarak kemenangan kita itu berada di zon selamat, bukan sentiasa di atas urat.Biarlah umpama Barcelona yang menyerang dan menjadi kelab bola sepak yang terbaik.

Namun, kalau sudah masuk pusingan kedua, kita telah dibelasah ‘kaw2’ punya oleh Team Nafsu FC, Piala Taqwa itu bakal jatuh ke mereka, iaitu ke tangan Team yang memang diketahui tidak kenal dan kenang nilai Piala Taqwa. Ia hanya mahu mengalahkan pasukan kita, ia hanya mahu melihat Piala Taqwa itu tidak berada di tangan kita. Namun, kita masih ada harapan, kerana rahmat Allah itu maha Luas. Selagi mana perlawanan belum habis, kita masih boleh lagi mengejar mata yang ketinggalan. Jadilah seperi Manchester United yang mengejar gol dan tidak putus semangat walaupun pada awalnya mereka ketinggalan.

Sahabat,
Apakah ‘season’depan kita masih berpeluang untuk masuk gelanggang? Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan, bahkan jurulatih terhandal pun tahu masa yang ada di tangan kita hanyalah sekarang. Masa lalu telah berlalu, masa hadapan tak pasti kesampaian. Dan masa sekarang yang ada di tangan kita, hanya tinggal separuh masa kedua… apakah masih ada ruang untuk berlengah?

Sahabat,

Sesungguhnya baki Ramadhan yang akan datang ini kita kena terus manfaatkan. Pada waktu injury time, yaknilah masa 10 malam yang terakhir, lailatul Qadar akan datang pada mana-mana malam yang terakhir ini. Maka, terus meneruslah menyumbat gol, mara dan menyerang pihak lawan, akan kita dapat meraih Piala Taqwa, dan seterusnya mendapat title Taqwa Champions di Aidil Fitri.

Ayuh! Sahabat! Ayuh!

Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin. ”
(HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

Selamat Memburu Malam Al Qadr…

Diolah dari : Abu Saif @ http://www.saifulislam.com