Diari IYF 2014 : Aku Tidak Layak

“Saya selalu mengajak rakan saya untuk berdakwah. Namun, dia sering berkata dia tidak layak dan tidak ada ilmu.”

Itulah soalan yang saya dan rakan-rakan terima daripada adik-adik peserta ketika slot IYF Forum: The Competency and Direction of Muslim Youth; Do We Fit? 

forum youth

Perangkap Syaitan

Sebahagian jawapan yang saya berikan kepada permasalah ini, telah saya tulis dan upload dalam portal Andalus Islamic Research Institute. Secara ringkas, ucapan seperti
“saya tidak layak”, “banyak dosa”, dan seumpama dengannya lagi, adalah salah satu kata-kata yang syaitan suka dengar terpacul dari Bani Adam, kerana dengan kata-kata ini, dakwah dan amar makruf nahi mungkar tidak akan berjalan di atas muka bumi ini.

Hidayah Allah

Ada kalanya, kita takut untuk menyampaikan dakwah kerana khuatir dakwah kita akan tertolak, tidak menyentuh hati dan gagal. Perkara inilah yang menyebabkan kita sukar untuk menggerakan diri kita untuk menyampaikan risalah dakwah kepada sahabat dan masyarakat.

Ingatlah, tugas kita hanya menyampaikan, bukannya mengubah orang yang didakwah. Sehebat mana pun kita, setinggi mana pun ilmu yang ada di dada, tetap kita tidak punya kuasa dan upaya untuk mengubah hati seseorang. Begitu juga dengan para Rasul. Mereka hanyalah menyampaikan dakwah dan risalah agama ini. Selebihnya, terserah kepada Allah.

“Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata”. (36:17)

Lupa Kepada Allah

Sahabat sekalian,

Dalam Al-Quran, perkataan yang Allah Azza Wa Jalla gunakan sangatlah terperinci, dan perlu kita hayati dan renungi. Di dalam surah Asy-Syu’ara’, Allah menceritakan tentang kata-kata Ibrahim AS dalam menerangkan sifat Allah.

Asy Syuaara

(77) “(Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam;

(78) “Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;

(79) “Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum,

(80) “Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;

(81) “Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku.

Sahabat,

Dalam ayat 78-80, adanya perkataan ‘هو’ di awal verb atau fi’il. Namun, mengapakah ayat 81, tidak ada perkataan ‘هو’?

Dalam bahasa Arab, boleh saja kita tidak menggunakan ‘هو’ ketika nak mengadakan dia (orang ketiga) buat sesuatu. Sebagai contoh :

arab

Ini sudah betul dan memadai. Tidak perlu untuk menambah perkataan ‘هو’ sebelum perkataan ‘يذهب’.

Persoalan di sini, mengapa Allah menggunakan perkataan ‘هو’?

Hal ini kerana Allah ingin menegaskan sesuatu pada ayat-ayat ini.

Manusia sering kali lupa, bahawa, yang memberi hidayah ialah Tuhan sehingga manusia takut untuk menyampaikan risalah kebenaran.

Manusia sering kali lupa yang memberi makan dan minum ialah Tuhan, sehingga gusar dan khuatir jika tidak mengambil rasuah dalam projek, tidak ada apa yang boleh diberi makan.

Manusia sering kali lupa yang memberi kesembuhan kepada penyakit ialah Tuhan, sehingga menyalahkan doktor kerana tidak dapat menyelamatkan ahli keluarga yang tersayang.

Namun, manusia tahu, yang mematikan dan menghidupkan ialah Tuhan. Kerana itulah, Allah tidak menggunakan perkataan ‘هو’.

Muhasabah Menginsafi Diri

 Oleh itu, sahabat sekalian, marilah kita sama-sama merenung akan diri kita. Apakah kita telah menjalankan amanah dakwah agama ini?

Kalaulah para sahabat tidak menjalankan dakwah dan jihad selepas kewafatan Rasulullah SAW, apakah ada jaminan Islam akan bertebaran di atas muka bumi ini dan sampai kepada kita?

Allah yang memegang hati-hati kita ini. Maka, mohonlah kepada Allah akan istiqamah untuk berjuang kerana agama ini.

Moga Allah menjadikan kita sebagai perantara dan asbab untuk manusia yang lain mendapat hidayah. Amin.

 

Advertisements

Islamia Youth Forum 2014 @ SMS Banting : Memori dan Kenangan

Malam ini, saya baru sahaja sampai ke rumah, selepas 4 hari berada di SMS Banting untuk program Islamia Youth Forum yang dianjurkan bersama ikhwah, dan kerjasama SMS Banting. Sungguh ini satu program yang bisa memberi semangat kepada saya, walaupun mungkin ada banyak kesilapan, juga masalah ketika berlangsungnya program. Sudah lumrah, segala yang dirancang, tidak semua berjalan seperti yang dibayangkan. Moga Allah mengampunkan dosa saya dan rakan-rakan yang berjuang, mengharap redha-Nya.

iyf2014 posterLiku-liku IYF

Seminggu sebelum berlangsungnya program ini, saya bersama ikhwah telah pun membuka gerai pameran di Ekspo Buku Islam UIA Gombak, dengan harapan, untung yang ada dengan jualan buku ini, berhasil untuk menampung kerugian yang bakal hadapi daripada program IYF ini. Sudah tentu, kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi  ‘worst case scenario’.

Dengan penat lelah berulang-alik lebih kurang 3 hari dari Cyberjaya ke Gombak, sungguh memakan tenaga serta wang yang banyak. Pada hari Jumaat, itulah kemuncak keletihan saya. Pagi Jumaat, saya bergegas ke UIA Gombak, untuk menjaga gerai. Kemudian, selepas asar, terus bergegas ke Banting untuk program IYF ini. Sekejap naik bas, kemudian LRT, kemudian bas, kemudian ERL. Kerana terlalu penat, saya hampir terlepas stesen kerana tertidur.

Sampai di Banting, ketika mana pelajar berprogram, saya terus ke surau, membaringkan badan, tidur ‘mati’ kerana penatnya saya. Sehinggalah, ada ikhwah yang datang mengejutkan saya supaya tidur di dalam bilik fasilitator yang disediakan oleh pihak SMS Banting.

Kalian hidup di dalam mimpiku

Seperti dalam entri pertama dalam blog saya ini, saya ada menceritakan kisah saya dalam menghafaz Al-Quran. Sejak dari sekolah menengah lagi, saya berharap supaya saya dapat menghafaz Al-Quran di dalam sistem MRSM. Tahun itu 2009, saya telah berjaya menghafal 10 surah pilihan dalam masa 9 hari ketika kem tahfiz cuti sekolah akhir tahun 2008. Tahun 2010, saya mendapat tawaran untuk ke MRSM Taiping, dan saya berhijrah dari MRSM Kepala Batas ke MRSM Taiping.

Ditakdirkan Tuhan, pada tahun itu juga, 2010, MRSM Kepala Batas telah melancarkan program ‘Ulul Albab’, iaitulah sebuah program tahfiz + akademik untuk di MRSM. Perasaan saya ketika itu ada sedikit sesal, namun juga gembira. Saya berazam untuk menjadi hafiz, walaupun saya tidak belajar dalam sistem tahfiz. Moga Allah membantu dan menguatkan saya. Amin.

Ketika program ini, saya difahamkan bahawa MRSM Gemencheh telah menghantar peserta seramai 10 orang pelajar tingkatan 4. Melihat wajah mereka, yang menghafal Al-Quran, kemudian, cemerlang akademik, ditambah lagi keinginan untuk membuka minda berfikir, membuatkan saya berkata di dalam hati kecil ini :
“Kalian hidup di dalam mimpiku”.

Impian saya, untuk belajar di MRSM Ulul Albab, diteruskan oleh mereka. Sehingga kini, saya masih belum dapat menghafaz Al-Quran melebih 15 juz lagi. Namun, saya tetap berharap dan berusaha untuk menghafaz Al-Quran, kerana itulah kebiasaan dan sunnah as-salafussoleh.

Teruskan perjuangan jihad ilmu adik-adikku. Semoga Allah merahmati setiap hamba-Nya yang hidup di bawah lembayung al-Quran.

Partisipasi dan Perhatian Yang Menakjubkan

forum youth

Saya telah 6 kali menganjurkan program IYF ini, bermula dari tahun 2012. Sepanjang perjalanan IYF ini, bolehlah saya katakan, bahawa ini IYF kali ni merupakan IYF yang paling banyak mendapat partisipasi dan perhatian dari kalangan peserta. Apabila masuk sahaja sesi soal jawab, terus ada yang bangun dan bertanya soalan. Sampaikan ada yang berebut untuk bertanya soalan apabila diumumkan soalan terakhir.

Bertanya, adalah salah satu proses berfikir. Bagaimana mungkin timbulnya soalan, tanpa berfikir? Bagi saya, kejayaan satu ceramah/talk itu apabila di akhirnya, akan timbul persoalan. Syabas kepada semua peserta IYF!

Keinsafan dan Kekurangan Diri

Kadangkala, kita berilmu, tapi tidak berhikmah. Banyaknya ilmu yang ada, tetapi, apabila kurangnya hikmah dalam penyampaian, menyebabkan kita seolah-olah nampak bodoh di hadapan manusia.

Teringat saya pada satu hadis Nabi SAW, (sila rujuk Hadis Arbain Nawawiya, Hadis 28) di mana, ucapan Nabi itu, menggugahkan jiwa para sahabat, seolah-olah merupakan ucapan terakhir. Begitulah Nabi SAW ketika berbicara, betapa tepat dan hikmahnya kata-kata baginda.

Maafkanlah diri ini adik-adikku, andai kata-kataku tidak bisa difahami oleh akalmu. Aku mengharapkan agar Allah memberiku hikmah, supaya bisa saja aku membuat dan berkata dengan tepat, pada masa yang tepat.

Tetapi, saya juga bersyukur kerana ada juga peserta yang mendapat inspirasi daripada apa yang saya sampaikan. Sungguh, segala kelebihan, ilmu, dan kebaikan itu, datang daripada Allah. Siapalah kita untuk mengubah hati-hati manusia ini.

Harapan & Impian

IYF bukanlah pengakhiran pemikiran, tetapi adalah batu loncatan untuk permulaan pemikiran. Kerahkanlah segala kapasiti yang kita ada untuk membantu umat ini. Jadilah orang soleh yang berdaya guna untuk umat ini.

Akhirul kalam, sama-samalah kita renungi ayat ini, untuk menjadi inspirasi kepada kita, agar terus berjuang dan berjuang, sehingga kita mati dan tersenyum, sebagai orang yang menang.

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (47:7)

P/S : Gambar kenang-kenangan. Bersama ikhwah.

candi

candi 2

aku

taujihat

Terima kasih atas komen membina ini. Moga apa yang dapat, bisa memberi manfaat dunia dan akhirat kepada kita berdua. Akanku terus mencari ilmu, demi memenangkan umat ini.