Islamia Youth Forum 2014 @ SMS Banting : Memori dan Kenangan

Malam ini, saya baru sahaja sampai ke rumah, selepas 4 hari berada di SMS Banting untuk program Islamia Youth Forum yang dianjurkan bersama ikhwah, dan kerjasama SMS Banting. Sungguh ini satu program yang bisa memberi semangat kepada saya, walaupun mungkin ada banyak kesilapan, juga masalah ketika berlangsungnya program. Sudah lumrah, segala yang dirancang, tidak semua berjalan seperti yang dibayangkan. Moga Allah mengampunkan dosa saya dan rakan-rakan yang berjuang, mengharap redha-Nya.

iyf2014 posterLiku-liku IYF

Seminggu sebelum berlangsungnya program ini, saya bersama ikhwah telah pun membuka gerai pameran di Ekspo Buku Islam UIA Gombak, dengan harapan, untung yang ada dengan jualan buku ini, berhasil untuk menampung kerugian yang bakal hadapi daripada program IYF ini. Sudah tentu, kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi  ‘worst case scenario’.

Dengan penat lelah berulang-alik lebih kurang 3 hari dari Cyberjaya ke Gombak, sungguh memakan tenaga serta wang yang banyak. Pada hari Jumaat, itulah kemuncak keletihan saya. Pagi Jumaat, saya bergegas ke UIA Gombak, untuk menjaga gerai. Kemudian, selepas asar, terus bergegas ke Banting untuk program IYF ini. Sekejap naik bas, kemudian LRT, kemudian bas, kemudian ERL. Kerana terlalu penat, saya hampir terlepas stesen kerana tertidur.

Sampai di Banting, ketika mana pelajar berprogram, saya terus ke surau, membaringkan badan, tidur ‘mati’ kerana penatnya saya. Sehinggalah, ada ikhwah yang datang mengejutkan saya supaya tidur di dalam bilik fasilitator yang disediakan oleh pihak SMS Banting.

Kalian hidup di dalam mimpiku

Seperti dalam entri pertama dalam blog saya ini, saya ada menceritakan kisah saya dalam menghafaz Al-Quran. Sejak dari sekolah menengah lagi, saya berharap supaya saya dapat menghafaz Al-Quran di dalam sistem MRSM. Tahun itu 2009, saya telah berjaya menghafal 10 surah pilihan dalam masa 9 hari ketika kem tahfiz cuti sekolah akhir tahun 2008. Tahun 2010, saya mendapat tawaran untuk ke MRSM Taiping, dan saya berhijrah dari MRSM Kepala Batas ke MRSM Taiping.

Ditakdirkan Tuhan, pada tahun itu juga, 2010, MRSM Kepala Batas telah melancarkan program ‘Ulul Albab’, iaitulah sebuah program tahfiz + akademik untuk di MRSM. Perasaan saya ketika itu ada sedikit sesal, namun juga gembira. Saya berazam untuk menjadi hafiz, walaupun saya tidak belajar dalam sistem tahfiz. Moga Allah membantu dan menguatkan saya. Amin.

Ketika program ini, saya difahamkan bahawa MRSM Gemencheh telah menghantar peserta seramai 10 orang pelajar tingkatan 4. Melihat wajah mereka, yang menghafal Al-Quran, kemudian, cemerlang akademik, ditambah lagi keinginan untuk membuka minda berfikir, membuatkan saya berkata di dalam hati kecil ini :
“Kalian hidup di dalam mimpiku”.

Impian saya, untuk belajar di MRSM Ulul Albab, diteruskan oleh mereka. Sehingga kini, saya masih belum dapat menghafaz Al-Quran melebih 15 juz lagi. Namun, saya tetap berharap dan berusaha untuk menghafaz Al-Quran, kerana itulah kebiasaan dan sunnah as-salafussoleh.

Teruskan perjuangan jihad ilmu adik-adikku. Semoga Allah merahmati setiap hamba-Nya yang hidup di bawah lembayung al-Quran.

Partisipasi dan Perhatian Yang Menakjubkan

forum youth

Saya telah 6 kali menganjurkan program IYF ini, bermula dari tahun 2012. Sepanjang perjalanan IYF ini, bolehlah saya katakan, bahawa ini IYF kali ni merupakan IYF yang paling banyak mendapat partisipasi dan perhatian dari kalangan peserta. Apabila masuk sahaja sesi soal jawab, terus ada yang bangun dan bertanya soalan. Sampaikan ada yang berebut untuk bertanya soalan apabila diumumkan soalan terakhir.

Bertanya, adalah salah satu proses berfikir. Bagaimana mungkin timbulnya soalan, tanpa berfikir? Bagi saya, kejayaan satu ceramah/talk itu apabila di akhirnya, akan timbul persoalan. Syabas kepada semua peserta IYF!

Keinsafan dan Kekurangan Diri

Kadangkala, kita berilmu, tapi tidak berhikmah. Banyaknya ilmu yang ada, tetapi, apabila kurangnya hikmah dalam penyampaian, menyebabkan kita seolah-olah nampak bodoh di hadapan manusia.

Teringat saya pada satu hadis Nabi SAW, (sila rujuk Hadis Arbain Nawawiya, Hadis 28) di mana, ucapan Nabi itu, menggugahkan jiwa para sahabat, seolah-olah merupakan ucapan terakhir. Begitulah Nabi SAW ketika berbicara, betapa tepat dan hikmahnya kata-kata baginda.

Maafkanlah diri ini adik-adikku, andai kata-kataku tidak bisa difahami oleh akalmu. Aku mengharapkan agar Allah memberiku hikmah, supaya bisa saja aku membuat dan berkata dengan tepat, pada masa yang tepat.

Tetapi, saya juga bersyukur kerana ada juga peserta yang mendapat inspirasi daripada apa yang saya sampaikan. Sungguh, segala kelebihan, ilmu, dan kebaikan itu, datang daripada Allah. Siapalah kita untuk mengubah hati-hati manusia ini.

Harapan & Impian

IYF bukanlah pengakhiran pemikiran, tetapi adalah batu loncatan untuk permulaan pemikiran. Kerahkanlah segala kapasiti yang kita ada untuk membantu umat ini. Jadilah orang soleh yang berdaya guna untuk umat ini.

Akhirul kalam, sama-samalah kita renungi ayat ini, untuk menjadi inspirasi kepada kita, agar terus berjuang dan berjuang, sehingga kita mati dan tersenyum, sebagai orang yang menang.

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (47:7)

P/S : Gambar kenang-kenangan. Bersama ikhwah.

candi

candi 2

aku

taujihat

Terima kasih atas komen membina ini. Moga apa yang dapat, bisa memberi manfaat dunia dan akhirat kepada kita berdua. Akanku terus mencari ilmu, demi memenangkan umat ini.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s