Diari IYF 2014 : Aku Tidak Layak

“Saya selalu mengajak rakan saya untuk berdakwah. Namun, dia sering berkata dia tidak layak dan tidak ada ilmu.”

Itulah soalan yang saya dan rakan-rakan terima daripada adik-adik peserta ketika slot IYF Forum: The Competency and Direction of Muslim Youth; Do We Fit? 

forum youth

Perangkap Syaitan

Sebahagian jawapan yang saya berikan kepada permasalah ini, telah saya tulis dan upload dalam portal Andalus Islamic Research Institute. Secara ringkas, ucapan seperti
“saya tidak layak”, “banyak dosa”, dan seumpama dengannya lagi, adalah salah satu kata-kata yang syaitan suka dengar terpacul dari Bani Adam, kerana dengan kata-kata ini, dakwah dan amar makruf nahi mungkar tidak akan berjalan di atas muka bumi ini.

Hidayah Allah

Ada kalanya, kita takut untuk menyampaikan dakwah kerana khuatir dakwah kita akan tertolak, tidak menyentuh hati dan gagal. Perkara inilah yang menyebabkan kita sukar untuk menggerakan diri kita untuk menyampaikan risalah dakwah kepada sahabat dan masyarakat.

Ingatlah, tugas kita hanya menyampaikan, bukannya mengubah orang yang didakwah. Sehebat mana pun kita, setinggi mana pun ilmu yang ada di dada, tetap kita tidak punya kuasa dan upaya untuk mengubah hati seseorang. Begitu juga dengan para Rasul. Mereka hanyalah menyampaikan dakwah dan risalah agama ini. Selebihnya, terserah kepada Allah.

“Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata”. (36:17)

Lupa Kepada Allah

Sahabat sekalian,

Dalam Al-Quran, perkataan yang Allah Azza Wa Jalla gunakan sangatlah terperinci, dan perlu kita hayati dan renungi. Di dalam surah Asy-Syu’ara’, Allah menceritakan tentang kata-kata Ibrahim AS dalam menerangkan sifat Allah.

Asy Syuaara

(77) “(Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah) melainkan Allah Tuhan sekalian alam;

(78) “Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dia lah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;

(79) “Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum,

(80) “Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;

(81) “Dan (Dia lah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan daku.

Sahabat,

Dalam ayat 78-80, adanya perkataan ‘هو’ di awal verb atau fi’il. Namun, mengapakah ayat 81, tidak ada perkataan ‘هو’?

Dalam bahasa Arab, boleh saja kita tidak menggunakan ‘هو’ ketika nak mengadakan dia (orang ketiga) buat sesuatu. Sebagai contoh :

arab

Ini sudah betul dan memadai. Tidak perlu untuk menambah perkataan ‘هو’ sebelum perkataan ‘يذهب’.

Persoalan di sini, mengapa Allah menggunakan perkataan ‘هو’?

Hal ini kerana Allah ingin menegaskan sesuatu pada ayat-ayat ini.

Manusia sering kali lupa, bahawa, yang memberi hidayah ialah Tuhan sehingga manusia takut untuk menyampaikan risalah kebenaran.

Manusia sering kali lupa yang memberi makan dan minum ialah Tuhan, sehingga gusar dan khuatir jika tidak mengambil rasuah dalam projek, tidak ada apa yang boleh diberi makan.

Manusia sering kali lupa yang memberi kesembuhan kepada penyakit ialah Tuhan, sehingga menyalahkan doktor kerana tidak dapat menyelamatkan ahli keluarga yang tersayang.

Namun, manusia tahu, yang mematikan dan menghidupkan ialah Tuhan. Kerana itulah, Allah tidak menggunakan perkataan ‘هو’.

Muhasabah Menginsafi Diri

 Oleh itu, sahabat sekalian, marilah kita sama-sama merenung akan diri kita. Apakah kita telah menjalankan amanah dakwah agama ini?

Kalaulah para sahabat tidak menjalankan dakwah dan jihad selepas kewafatan Rasulullah SAW, apakah ada jaminan Islam akan bertebaran di atas muka bumi ini dan sampai kepada kita?

Allah yang memegang hati-hati kita ini. Maka, mohonlah kepada Allah akan istiqamah untuk berjuang kerana agama ini.

Moga Allah menjadikan kita sebagai perantara dan asbab untuk manusia yang lain mendapat hidayah. Amin.

 

Islamia Youth Forum 2014 @ SMS Banting : Memori dan Kenangan

Malam ini, saya baru sahaja sampai ke rumah, selepas 4 hari berada di SMS Banting untuk program Islamia Youth Forum yang dianjurkan bersama ikhwah, dan kerjasama SMS Banting. Sungguh ini satu program yang bisa memberi semangat kepada saya, walaupun mungkin ada banyak kesilapan, juga masalah ketika berlangsungnya program. Sudah lumrah, segala yang dirancang, tidak semua berjalan seperti yang dibayangkan. Moga Allah mengampunkan dosa saya dan rakan-rakan yang berjuang, mengharap redha-Nya.

iyf2014 posterLiku-liku IYF

Seminggu sebelum berlangsungnya program ini, saya bersama ikhwah telah pun membuka gerai pameran di Ekspo Buku Islam UIA Gombak, dengan harapan, untung yang ada dengan jualan buku ini, berhasil untuk menampung kerugian yang bakal hadapi daripada program IYF ini. Sudah tentu, kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi  ‘worst case scenario’.

Dengan penat lelah berulang-alik lebih kurang 3 hari dari Cyberjaya ke Gombak, sungguh memakan tenaga serta wang yang banyak. Pada hari Jumaat, itulah kemuncak keletihan saya. Pagi Jumaat, saya bergegas ke UIA Gombak, untuk menjaga gerai. Kemudian, selepas asar, terus bergegas ke Banting untuk program IYF ini. Sekejap naik bas, kemudian LRT, kemudian bas, kemudian ERL. Kerana terlalu penat, saya hampir terlepas stesen kerana tertidur.

Sampai di Banting, ketika mana pelajar berprogram, saya terus ke surau, membaringkan badan, tidur ‘mati’ kerana penatnya saya. Sehinggalah, ada ikhwah yang datang mengejutkan saya supaya tidur di dalam bilik fasilitator yang disediakan oleh pihak SMS Banting.

Kalian hidup di dalam mimpiku

Seperti dalam entri pertama dalam blog saya ini, saya ada menceritakan kisah saya dalam menghafaz Al-Quran. Sejak dari sekolah menengah lagi, saya berharap supaya saya dapat menghafaz Al-Quran di dalam sistem MRSM. Tahun itu 2009, saya telah berjaya menghafal 10 surah pilihan dalam masa 9 hari ketika kem tahfiz cuti sekolah akhir tahun 2008. Tahun 2010, saya mendapat tawaran untuk ke MRSM Taiping, dan saya berhijrah dari MRSM Kepala Batas ke MRSM Taiping.

Ditakdirkan Tuhan, pada tahun itu juga, 2010, MRSM Kepala Batas telah melancarkan program ‘Ulul Albab’, iaitulah sebuah program tahfiz + akademik untuk di MRSM. Perasaan saya ketika itu ada sedikit sesal, namun juga gembira. Saya berazam untuk menjadi hafiz, walaupun saya tidak belajar dalam sistem tahfiz. Moga Allah membantu dan menguatkan saya. Amin.

Ketika program ini, saya difahamkan bahawa MRSM Gemencheh telah menghantar peserta seramai 10 orang pelajar tingkatan 4. Melihat wajah mereka, yang menghafal Al-Quran, kemudian, cemerlang akademik, ditambah lagi keinginan untuk membuka minda berfikir, membuatkan saya berkata di dalam hati kecil ini :
“Kalian hidup di dalam mimpiku”.

Impian saya, untuk belajar di MRSM Ulul Albab, diteruskan oleh mereka. Sehingga kini, saya masih belum dapat menghafaz Al-Quran melebih 15 juz lagi. Namun, saya tetap berharap dan berusaha untuk menghafaz Al-Quran, kerana itulah kebiasaan dan sunnah as-salafussoleh.

Teruskan perjuangan jihad ilmu adik-adikku. Semoga Allah merahmati setiap hamba-Nya yang hidup di bawah lembayung al-Quran.

Partisipasi dan Perhatian Yang Menakjubkan

forum youth

Saya telah 6 kali menganjurkan program IYF ini, bermula dari tahun 2012. Sepanjang perjalanan IYF ini, bolehlah saya katakan, bahawa ini IYF kali ni merupakan IYF yang paling banyak mendapat partisipasi dan perhatian dari kalangan peserta. Apabila masuk sahaja sesi soal jawab, terus ada yang bangun dan bertanya soalan. Sampaikan ada yang berebut untuk bertanya soalan apabila diumumkan soalan terakhir.

Bertanya, adalah salah satu proses berfikir. Bagaimana mungkin timbulnya soalan, tanpa berfikir? Bagi saya, kejayaan satu ceramah/talk itu apabila di akhirnya, akan timbul persoalan. Syabas kepada semua peserta IYF!

Keinsafan dan Kekurangan Diri

Kadangkala, kita berilmu, tapi tidak berhikmah. Banyaknya ilmu yang ada, tetapi, apabila kurangnya hikmah dalam penyampaian, menyebabkan kita seolah-olah nampak bodoh di hadapan manusia.

Teringat saya pada satu hadis Nabi SAW, (sila rujuk Hadis Arbain Nawawiya, Hadis 28) di mana, ucapan Nabi itu, menggugahkan jiwa para sahabat, seolah-olah merupakan ucapan terakhir. Begitulah Nabi SAW ketika berbicara, betapa tepat dan hikmahnya kata-kata baginda.

Maafkanlah diri ini adik-adikku, andai kata-kataku tidak bisa difahami oleh akalmu. Aku mengharapkan agar Allah memberiku hikmah, supaya bisa saja aku membuat dan berkata dengan tepat, pada masa yang tepat.

Tetapi, saya juga bersyukur kerana ada juga peserta yang mendapat inspirasi daripada apa yang saya sampaikan. Sungguh, segala kelebihan, ilmu, dan kebaikan itu, datang daripada Allah. Siapalah kita untuk mengubah hati-hati manusia ini.

Harapan & Impian

IYF bukanlah pengakhiran pemikiran, tetapi adalah batu loncatan untuk permulaan pemikiran. Kerahkanlah segala kapasiti yang kita ada untuk membantu umat ini. Jadilah orang soleh yang berdaya guna untuk umat ini.

Akhirul kalam, sama-samalah kita renungi ayat ini, untuk menjadi inspirasi kepada kita, agar terus berjuang dan berjuang, sehingga kita mati dan tersenyum, sebagai orang yang menang.

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (47:7)

P/S : Gambar kenang-kenangan. Bersama ikhwah.

candi

candi 2

aku

taujihat

Terima kasih atas komen membina ini. Moga apa yang dapat, bisa memberi manfaat dunia dan akhirat kepada kita berdua. Akanku terus mencari ilmu, demi memenangkan umat ini.

Menjernih Makna Perubatan Islam

“Perubatan Islam Alternatif”

“Merawat Penyakit-Penyakit Kritikal Dengan Al-Quran”

Kerap kali saya balik ke kampung, mahupun mana-mana kawasan yang ramainya penduduk Melayu, ada sahaja iklan-iklan tentang perubatan Islam. Perkara ini mebuatkan saya tertanya-tanya, apakah makna sebenar perubatan Islam itu?

Biasanya, pengamal-pengamal perubatan Islam mendakwa bahawa mereka merawat penyakit dengan menggunakan ayat Al-Quran, menggunakan madu lebah, habbatus sawda’, bekam dan lain-lain lagi. Namun, apakah hanya rawatan berbentuk itu sahaja yang layak dijenamakan sebagai perubatan Islam? Kalau begitu, perubatan kafirlah jika menggunakan cara rawatan lain seperti teknik pembedahan dan ubat-ubatan moden.

Istilah Perubatan Islam 

Tiada istilah ‘perubatan Islam’ yang hanya merujuk kepada jampi atau bahan-bahan yang disebutkan oleh Nabi s.a.w semata. Berubat memang disuruh oleh Islam. Apa sahaja ubat yang mengikut kaedah perubatan yang betul maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh syarak. Ini termasuk perubatan dan ubat yang disebut oleh Nabi s.a.w, atau selainnya yang mengikut disiplin ilmu perubatan..

Sabda Nabi SAW :

Setiap penyakit pasti memiliki ubat. Bila sesuatu ubat bertepatan dengan penyakitnya maka dia akan sembuh dengan izin Allah Azza Wa Jalla
(Riwayat Imam Muslim)

Maka, perubatan moden, atau cina, atau india, atau melayu yang berasaskan kaedah yang benar, bukan haram, khurafat atau syirik maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh Islam. Bahkan jika diyakini boleh menyembuhkan seseorang yang sakit, maka ia disuruh oleh Islam tanpa mengira asal usul perubatan tersebut.

Tujuan Rasulullah SAW Diutuskan

Rasulullah SAW diutus kepada manusia bukan untuk mengajar ilmu perubatan. Baginda Nabi SAW diutus untuk mengajar manusia ini tauhid, ibadah dan akhlak. Baginda SAW hanya mengamalkan kaedah perubatan berdasarkan pengalaman dan persekitaran ketika itu.

Kata Ibn Khaldun:

“Maka perubatan yang diriwayatkan dalam syarak (hadis) kepada kita adalah dari jenis perubatan arab, sedikit pun bukan dari wahyu. Ia hanyalah perkara yang menjadi kebiasaan arab. Apa yang disebut keadaan Nabi s.a.w dalam hal ini termasuk dalam jenis adat dan jibiliyyah (tabiat kebiasaan) bukan kerana ia disyariatkan amal sedemikian rupa. Ini kerana Nabi s.a.w diutuskan untuk mengajar syariat, bukan untuk memperkenalkan perubatan atau adat kebiasaan yang lain” (Ibn Khaldun, al-Muqaddimah, 493-494. Beirut: Dar al-Fikr).

Oleh itu, setiap umat Islam apabila ditimpa penyakit perlulah berikhtiar mencari ubat atau kaedah rawatan yang dapat menyembuhkan tanpa mengehadkan kepada habbatus sawda’ dan madu sahaja. Sebaliknya, meneruskan ikhtiar mencari penawar selagi perkara itu bertepatan dengan syarak dan juga memberi manfaat kepada manusia.

Bawalah Hati Kepada Tuhanmu

Sudah mula berbondong-bondong manusia ke sana. Membawa hati yang lara mencari cinta. Walaupun tanahnya gersang, tetapi hati manusia yang menuju ke sana sentiasa basah dengan rindu dan cumbu. Kami datang, kami datang… Semuanya menyeru untuk bertemu dan bertamu. Tetamu-tetamu Allah itu pasrah menyerahkan segalanya, meninggalkan semua demi bertemu-Nya.

Saudara,

Ingin aku kongsikan kepada kalian satu cerita yang bisa kita ambil iktibar insya-Allah.

Tentu ada yang salah di mana-mana, jika ada orang yang rajin solat tetapi masih gemar mengumpat. Orang yang berpuasa tetapi masih tega menghina. Atau orang yang banyak berzikir dan berwirid tetapi sangat bakhil dan kedekut. Mengapa amal ibadah itu tidak membuahkan akhlak yang baik? Padahal ibadah itu umpama ‘pohon’ yang menghasilkan ‘buah’ akhlak.

Seorang lelaki bertemu seorang ahli sufi terkenal, Bisyr bin Harits untuk mengucapkan selamat berpisah kerana dia hendak mengerjakan ibadah haji buat kali kedua. Dia berkata, “Aku berniat pergi haji. Adakah sesuatu yang hendak engkau sampaikan kepada ku untuk aku lakukan?”

“Berapa banyak wang yang kau siapkan untuk bekalan?” tanya Bisyr.

“Dua ribu dirham.”

“Apa tujuan engkau mengerjakan haji kali ini? Apakah kerana zuhud terhadap dunia atau untuk melepaskan kerinduan kepada Baitullah atau untuk mencari keredaan Allah?”

“Demi mencari keredaan Allah,” jawab lelaki itu tegas.

“Sekiranya engkau dapat meraih keredaan Allah, sedangkan engkau tetap tinggal di rumah mu dengan menginfakkan dua ribu dirham  itu, apakah engkau bersedia untuk melakukannya?” tanya Bisyr.

“Ya.”

“Kalau begitu pergilah dan infakkan wang dua ribu dirham itu untuk menolong sepuluh golongan manusia; seorang yang terbeban oleh hutangnya, lalu engkau bayar hutangnya; seorang miskin, lalu engkau baiki tahap hidupnya; seorang mempunyai keluarga yang ramai anak; seorang penjaga anak yatim , lalu kau gembira anak yatim yang diasuhnya…”

Bisyr menyambung lagi, “Sekiranya hati engkau cukup kuat untuk memberi wang itu kepada seorang sahaja di kalangan mereka, maka berikanlah! Sesungguhnya, perbuatan engkau memberi kegembiraan di hati orang Muslim dengan menolongnya menghadapi penderitaan, membantunya keluar dari kesusahannya dan menolong orang yang lemah, adalah jauh lebih utama daripada ibadah haji seratus kali (setelah haji pertama yang diwajibkan seumur hidup.)”

Biyr bin Harits menambah lagi, “sekarang engkau pergilah dan infakkanlah wang dua ribu dirham itu sepertimana yang aku cadangkan. Atau jika tidak, luahkan sahaja isi hati mu sekarang…”

Lelaki itu termenung  sebentar lalu berkata, “Wahai Abu Nashr ( gelaran Bisyru Al Harit), niat untuk ku mengerjakan haji lebih kuat dalam hati daripada semua amalan yang kau ucapkan itu!”

Mendengar jawapan itu, Bisyr tersenyum dan berkata, “Memang, apabila harta diperoleh melalui perniagaan yang kotor atau syubhat, maka hati akan tertarik untuk memenuhi keinginan hawa nafsu dengan menampakkan dan menonjolkan amal-amal soleh (agar diketahui oleh orang ramai). Padahal Allah telah bersumpah demi dirinya sendiri, bahawa Dia tidak akan menerima selain amalan orang-orang yang bertakwa.

Ritual Ibadah

Kisah di atas cukup memberi pengajaran kepada kita. Mengapa amal ibadah itu tidak membuahkan akhlak yang baik? Padahal ibadah itu umpama ‘pohon’ yang menghasilkan ‘buah’ akhlak.

Kerana kita semua beribadah hanyalah sekadar ritual, bukan kerana kita ingin menghubungkan hati kita kepada Rabb, Allah Azza Wa Jalla.

Sujud kita dalam solat, laparnya ketika berpuasa, banyaknya harta yang kita korbankan, semua itu tidak memberi makna di sisi Allah jika kita hanya melakukan perkara itu hanyalah kerana ikut-ikutan dan adat.

Sungguh satu kerugian yang besar jika ibadah kita ini gagal menghubungkan hati dengan Tuhan.

Kata Allah di dalam Al-Quran : 

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (22:37)

Hakikat Aidil Adha

Adha itu bermaksud pengorbanan, tetapi pengorbanan yang bagaimana? Pengorbanan yang melibatkan jiwa dan juga perasaan kita. Pengorbanan sepertimana Hajar ditinggal Nabi Ibrahim AS, Nabi Ibrahim AS diperintah oleh Allah untuk menyembelih buah hatinya, Ismail AS.

Saudara,

Hayatilah Aidil Adha ini dengan penuh rasa keinsafan dan sematkan rasa berkorban, untuk meninggikan agama ini. Meninggikan agama ini kerana Allah.

Pakaian kain ihram di tubuh
Serah diri seluruh…
Pangkat, derjat, bintang dan gelaran meluruh
Kini kita hanya seorang hamba
Yang benar-benar hina di hadapan-Nya

Datanglah bagaikan hamba tawanan
Yang bertelut gementar… menanti hukuman
Labaiklallah humma labaik!
Hambamu datang ya Allah…
Dengan hias rohani
Di cermin matahati katakan pada diri:
Aku tidak punya apa-apa
Harta, keluarga dan milik Mu jua
Asalku hanya dari titisan air yang hina …
Jahil, miskin, lemah dan tidak berdaya…
Namun Hambamu datang jua ya Allah…
Labaikallah humma labaik
Aku datang wahai Tuhan
Aku datang… menyahut panggilan

Second Half Taqwa Champions League

Pernah tengok Filem Goal 2? Saya tidaklah hebat dan handal bemain bola sepak, tapi saya suka main futsal (bola sepak) untuk riadah. Saya juga tidak begitu berminat untuk mengetahui semua isu semasa bola sepak.

Namun, ada satu filem tentang bola sepak yang saya suka iaitu, Goal 2. Bagi saya, filem tu sangat seronok dan menarik. Tambah lagi, dengan epic scene di waktu klimaksnya, Santiago Munez bersama rakannya Gavin Harris serta bintang bola sepak terkenal, David Beckham dalam menjayakan misi Real Madrid untuk menang dalam Champions League.

Dalam Filem ini, final Champions League Real Madrid bertemu Arsenal, dan Arsenal mendahului 2-0 pada separuh masa pertama. Kemudian, pada separuh masa kedua, Santiago Munez masuk padang dan bermain bersama Gavin Harris dan mereka berdua menyumbat gol penyamaan. Pada masa kecederaan, Real Madrid menerima free kick akibat foul oleh Arsenal, David Beckham mengambil free kick dan menyumbat gol kemenangan Real Madrid.

Sahabat,

Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya adalah pusingan penentu seperti mana dalam filem Goal 2 itu tadi. Ramadhan kita  ini umpama perlawanan bola sepak. Separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, masih lagi terfikir-fikir strategi ketika di medan dan berlari di padang tanpa arah tujuan.  Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.

Oleh itu, apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?

Andai masih 0-0, perlu dikaji apa yang tidak kena. Maksiat kita tinggalkan, tapi kebaikan tidak kita lakukan. Tambah-tambah lagi jika maksiat ditinggalkan hanya semata-mata “˜rakan syaitan jin dan manusia” tertambat dan bukannya kerana dorongan mahu mendampingi Tuhan. Jangan lupa, buat sesuatu kerana selain Allah itu riya, meninggalkan sesuatu kerana selain Allah juga adalah riya.

Andaikata kita sudah mendahului dengan jaringan 1-0, syukurlah kepada Allah. Namun kita belum selamat. Pasukan Nafsu masih terlalu hampir untuk membuat jaringan persamaan, mereka tidak henti-henti menyerang sedangkan pertahanan kita semakin keletihan. Tambahlah bilangan bola yang berjaya dibawa melepasi pertahanan Pasukan Nafsu yang degil itu. Biar jarak kemenangan kita itu berada di zon selamat, bukan sentiasa di atas urat.Biarlah umpama Barcelona yang menyerang dan menjadi kelab bola sepak yang terbaik.

Namun, kalau sudah masuk pusingan kedua, kita telah dibelasah ‘kaw2’ punya oleh Team Nafsu FC, Piala Taqwa itu bakal jatuh ke mereka, iaitu ke tangan Team yang memang diketahui tidak kenal dan kenang nilai Piala Taqwa. Ia hanya mahu mengalahkan pasukan kita, ia hanya mahu melihat Piala Taqwa itu tidak berada di tangan kita. Namun, kita masih ada harapan, kerana rahmat Allah itu maha Luas. Selagi mana perlawanan belum habis, kita masih boleh lagi mengejar mata yang ketinggalan. Jadilah seperi Manchester United yang mengejar gol dan tidak putus semangat walaupun pada awalnya mereka ketinggalan.

Sahabat,
Apakah ‘season’depan kita masih berpeluang untuk masuk gelanggang? Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan, bahkan jurulatih terhandal pun tahu masa yang ada di tangan kita hanyalah sekarang. Masa lalu telah berlalu, masa hadapan tak pasti kesampaian. Dan masa sekarang yang ada di tangan kita, hanya tinggal separuh masa kedua… apakah masih ada ruang untuk berlengah?

Sahabat,

Sesungguhnya baki Ramadhan yang akan datang ini kita kena terus manfaatkan. Pada waktu injury time, yaknilah masa 10 malam yang terakhir, lailatul Qadar akan datang pada mana-mana malam yang terakhir ini. Maka, terus meneruslah menyumbat gol, mara dan menyerang pihak lawan, akan kita dapat meraih Piala Taqwa, dan seterusnya mendapat title Taqwa Champions di Aidil Fitri.

Ayuh! Sahabat! Ayuh!

Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin. ”
(HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

Selamat Memburu Malam Al Qadr…

Diolah dari : Abu Saif @ http://www.saifulislam.com

Sayonara Ammar Al-Balingi

Alhamdulillah, hari ini, 11 Mei 2013, sudah tamat final exam saya dan ikhwah-ikhwah MMU yang satu batch saya. Maka, sudah tamatlah pengajian asasi di MMU. Semester depan insya-Allah kami semua akan memulakan pengajian Ijazah Sarjana Muda di MMU.

Hari ini juga, mungkin merupakan hari terakhir saya dan rakan sebilik (roommate) kesayangan bersama, kerana beliau akan  meneruskan pengajian beliau di MMU Melaka, kerana kursus yang beliau minati ada di MMU Melaka.

Ammar Roommate Kesayangan.

Usai habisnya peperiksaan, kami adakan sedikit majlis perpisahan sempena meraikan pemergian Ammar Putra aka Ammar al-Balingi.

Gambar Ketika Jamuan. Aku sedang memberi ucapan

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Saat Kita Mula Bertemu

Saya mula mengenali Ammar pada hujung tahun 2010, iaitu ketika kami masih berada di tingkatan 4. Saya mengenali Ammar ketika program Islamia Youth Forum di UKM Bangi, anjuran Andalus Islamic Research Institute. Program itu merupakan program yang membina fikrah dan kesedaran Islam dalam kalangan pelajar sekolah menengah, khususnya pimpinan pelajar.

First impression saya kepada beliau bahawa beliau merupaka seorang yang amat baik, sopan, mempunyai kepimpinan yang tinggi serta amat ramah.

Sepanjang program itu, saya dan Ammar menjalinkan ukhuwah antara kami, dan sungguh, itu merupakan kenangan yang manis.

Berpisah

Selesai program, kami bertukar-tukar nombor, untuk keep in touch antara kami. Pada tahun 2011, program Islamia Youth Forum diadakan di UKM Bangi, menghimpunkan pelajar dari seluruh MRSM dan SBP di Malaysia. Sayangnya, beliau dan rakan-rakan dari SEMUJI (sekolah beliau) tidak dapat hadirkan diri ke program itu.

Saya berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat berjumpa dengannya. Sejak dari itu, kami jarang-jarang berhubung dek kerana peperiksaan SPM.

Kem Yayasan TM di Taiping 

Pada awal tahun 2012, saya dikehendaki untuk ke Kem Pemilihan Biasiswa Yayasan TM di Taiping. Sangka saya, tidak ada kenalan saya yang akan ke situ.

Tanpa diduga, Allah telah mentakdirkan saya untuk bertemu dengan Ammar di kem itu. Alhamdulillah! Namun, kami tidak dapat berborak lama kerana saya dan beliau berada dalam kumpulan berlainan.

Ditakdirkan Allah, saya dan Ammar berjaya mendapat tawaran Biasiswa Yayasan TM untuk melanjutkan pelajaran di MMU.

MMU Cyberjaya

Pada 27 Mei 2012, merupakan hari pendaftaran MMU. Pagi itu, Ammar menelefon saya, supaya saya daftar cepat sikit. Katanya saya dan beliau dapat bilik sekali. Saya bersyukur kerana ada orang yang saya kenal belajar di MMU. Sekurangnya saya tidak keseorangan.

Saya mendaftar di MMU dan berjumpa dengannya pada waktu hampir Maghrib. Saya terus memeluk beliau, kerana sejak dari Program IYF, saya sudah tidak bertemu dengan beliau.

Kenangan

Sepanjang kami duduk seblik, saya berasa sangat senang hati dengan beliau. Tempatnya selalu bersih, selalu membawa makanan jika ada kelapangan.

Beliau juga sangat menghormati perasaan saya. Saya tidak suka berjaga malam. Tepat pukul 12, beliau pasti akan turn off light, untuk memastikan saya tidak terganggu untuk tidur lena.

Banyak memori saya dan Ammar ketika di MMU. Burger bakar, beli belah buku dan kem Super Muslim IU. Memori yang kami cipta bersama, bersama dengan ikhwah yang lain, akan saya kenang sampai mati. Sungguh saya kasih dan cinta kepadanya.

Pesan-Pesanan

Saya mengharapkan beliau terus maju jaya, tak kira di mana beliau berada. Kursus robotic yang beliau ambil kerana minatnya yang mendalam, moga bermanfaat kepadanya.
Saya tidak ada apa-apa hadiah untuk dberikan, tapi kukirimkan doa keampunan dan kesejahteraan kepadanya.

Moga Allah terus merahmati dan memberkatimu ya Akhi!
Seeru ‘ala barakatillah.

Sambutan Hari Jadi saya dan perpisahan saudara Zurai (baju merah paling kiri)

Sambutan Hari Jadi saya dan perpisahan saudara Zurai (baju merah paling kiri)

Makan Burger Bakar di Kajang selepas usai Exam Semester 2.

 

Jamuan Aidilfitri bersama Ikhwah MMU Melaka.

Baik2 di sana ya akhi. Doa2kan kami di sini.

 

Nik Aziz & Abdul Aziz

Seperti yang kita sedia maklum, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat meletakkan jawatannya sebagai MB Kelantan dan Timbalannya, Ustaz Ahmad Yakob menggantikan beliau setelah 22 tahun mentadbir negeri Kelantan. Maka, hati saya tergerak untuk menulis tentang Tuan Nik Aziz.

30 JUN 1994

Mak pernah beritahu kepada saya sewaktu saya kecil (agak-agak sekolah rendah), bahawa nama saya bersempena dengan nama Tuan Guru Nik Aziz. Sebelum saya lahir, ayah saya berdoa agar lahirnya nanti saya, jika lelaki (dan saya memang lelaki ya) akan dinamakan seperti nama Tuan Guru Nik Aziz, moga-moga saya menjadi alim dan soleh seperti Tuan Guru Nik Aziz.

Sungguh, saya bukanlah orang-orang soleh, namun saya sangat mencintai orang-orang soleh. Moga-moga dengan nama yang diberikan oleh ibu dan ayah saya, MUHAMMAD ABDUL AZIZ akan memberi semangat, dan membina peribadi yang mulia dalam diri saya.

BALIK KELANTAN  

Setiap kali hari raya, sama ada Aidilfitri atau Aidiladha, saya dan keluarga insya-Allah akan balik beraya di Kelantan. Setiap kali solat Raya, ayah saya akan membawa kami adik beradik ke Pulau Melaka, madrasah Tuan Guru untuk solat di sana.

Setiap tahun, solat raya diimami oleh Tuan Guru dan khutbah juga disampaikan oleh beliau. Setiap kali Tuan Guru memberikan khutbah, saya seolah-olah mendapat inspirasi dari ucapan dan kata-kata beliau, walaupun suara dan intonasi beliau tidaklah seperti jaguh pemidato, namun kata-katanya yang lunak, ucapannya padat dengan ilmu, nasihatnya membina himmah. Sungguh, beliau merupakan pemimpin yang baik.

Utusan Malaysia selalu mengatakan Tuan Guru Nik Aziz memberikan kenyataan yang sangat buruk terhadap BN/UMNO. Namun, sepanjang saya mengikuti ceramah Tuan Guru Nik Aziz, baik di Youtube mahupun dunia sebenar, tidak pernah beliau mengatakan perkara-pekara sedemikian kepada BN/UMNO. Itu hanyalah fitnah semata-mata.

JAMUAN DI RUMAH TUAN GURU

Gambar Jamuan Raya di rumah TGNA.

Usai solat Raya, beliau akan mengadakan jamuan hari raya di rumahnya. Satu-satunya makanan yang saya suka di sana ialah laksa Kelantan. Terbaik!!!

Rumahnya sederhana, binaan dari kayu. Sekilas pandang, rumahnya hanyalah seperti rumah rakyat marhain sahaja. Tidak lebih dari itu. Sungguh zuhud beliau.

 

JASA TUAN GURU

Sungguh banyak jasa Tuan Guru kepada pembangunan dan Islamisasi di Kelantan. Hanya Allah sahaja yang bisa membalasnya. Kini, Tuan Guru sudah pun meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan. Walaupun saya sekarang menetap di Kedah, namun saya juga berasa sedih dengan perletakan jawatan beliau. Semoga Kelantan terus makmur dan maju di bawah kepimpinan yang baru.

Saya menulis pos ini bukanlah kerana saya taksub dengan Tuan Guru, namun  peribadi yang beliau yang baik, semangat perjuangan beliau, harus kita contohi.

Usia Tuan Guru telah pun lanjut, kesihatan beliau yang semakin hari semakin surut. Moga Allah memberikan kesihatan yang baik untuk Tuan Guru.

Aku bersalam dengan Tuan Guru Nik Aziz. Bisakah aku menjadi sepertinya?